Wellcome To Kg. Paris Kinabatangan Sabah Malaysia. Hope Enjoy Your Stay Here, "Sabah Land Below The Wind"
Memaparkan catatan dengan label Piala Suzuki AFF. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Piala Suzuki AFF. Papar semua catatan

Isnin, 3 Januari 2011

Khairul Fahmi Dapat Rumah Dari Kerajaan Kelantan

Penjaga gol pasukan bola sepak negara, Khairul Fahmi Che Mat, 21, yang membantu Malaysia muncul juara Piala Suzuki AFF 2010 baru-baru ini dianugerahkan sebuah rumah oleh kerajaan Kelantan bagi mengenang jasa dan pengorbanan penjaga gol itu.



Pemberian rumah itu diumumkan sendiri oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selepas majlis meraikan Khairul Fahmi oleh penduduk Kampung Cherang Ruku.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Badan Bukan kerajaan (NGO) Negeri Kelantan, Abdul Fattah Mahmood.

Nik Aziz berkata, kerajaan Kelantan begitu berbangga dengan kecemerlangan Khairul Fahmi dan berharap pemain itu akan terus meningkatkan prestasinya pada masa akan datang.

"Dia masih muda dan perlu menjaga diri dengan baik. Dengan bakat yang ada, dia boleh menonjol sampai bila-bila. Kita menghargai bakat dia serta keluarga dia, sebab itu kita berjanji nak beri hadiah rumah kepada dia,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Nik Aziz berkata bersukan adalah satu riadah yang sangat dituntut dalam agama Islam.

"Kita perlu seimbangkan antara tuntutan dunia dan akhirat. Bersukan boleh tetapi kita jangan lupa solat. Solat membentuk keperibadian akhlak yang mulia. Kita jangan terbabit dalam gejala najis dadah."

Khamis, 30 Disember 2010

Harimau Malaysia Muncul Juara Piala Suzuki 2010

Akhirnya setelah 14 tahun menanti, peristiwa bersejarah dilakar di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta. Harimau Malaysia muncul buat pertama kalinya Juara Piala Suzuki AFF 2010 setelah menewaskan Burung Garuda Indonesia dengan kelebihan agregat 4-2.



Pada perlawanan malam ini, Malaysia memperoleh gol pertama melalui Safee Salli pada saingan separuh masa pertama. Indonesia berjaya mendapat satu gol hasil sumbangan Mohammad Nasuha dan gol sendiri pemain Malaysia, Mohamad Muslim Ahmad. Paling menarik malam ini, sepakan penalti Firman Utina berjaya dihentikan oleh penjaga gawang negara, Khairul Fahmi Che Mat.

Penjaga Gol Skuad Harimau Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat

Corak permainan bertahan dan sesekali menyerang telah membuahkan hasil yang lumayan kepada skuad Harimau Malaysia. Tahniah buat pemain paling cemerlang iaitu penjaga gol, Khairul Fahmi yang telah berjaya menangkis berapa serangan merbahaya dari skuad Burung Garuda Indonesia.



Kapten Malaysia, Safiq Rahim (kanan) bersama rakan sepasukan menjulang Piala Suzuki AFF 2010 selepas berjaya mengalahkan Indonesia pada perlawanan akhir di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, sebentar tadi.


Penjaring terbanyak, Safee Salli dengan 5 gol sepanjang aksi Piala Suzuki AFF 2010

Selasa, 28 Disember 2010

Apa Sebab Indonesia Kalah Di Bukit Jalil?

JAKARTA - Jurulatih skuad kebangsaan Indonesia, Alfred Riedl mengkritik media tempatan negara itu yang disifatkannya telah 'merosakkan mental' pemain-pemain bimbingannya.

Apa yang dikesalkan oleh jurulatih yang berasal dari Austria itu juga ialah pemain-pemain pasukan kebangsaan itu serta ahli keluarga mereka diberi sanjungan yang melampau sehingga ke peringkat 'mabuk pujian'.

Riedl menegaskan, beliau hairan kenapa media massa di Indonesia memberikan publisiti yang melampau kepada pemain-pemain bimbingannya. Pada masa yang sama, Riedl mempersoalkan kenapa Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) menganjurkan aktiviti-aktiviti yang tidak memberi sebarang kepentingan kepada pasukan kebangsaan negara itu.

"Media terlalu banyak meminta wawancara dengan pasukan ini. Bahkan, sejak kebelakangan ini, aktiviti yang dianjurkan oleh PSSI juga mengganggu kami. Banyak kegiatan yang berlebihan dan tidak perlu. Mungkin habis (kekalahan) ini, anda (media massa) baru akan kembali memijak bumi," katanya penuh tegas seperti yang dilaporkan akhbar Warta Kota, semalam.

Laporan yang diberikan oleh media massa negara ini khususnya beberapa hari menjelang perlawanan akhir pertama di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, kelmarin amat luar biasa.
Ada beberapa saluran televisyen yang menyiarkan laporan yang begitu mengagung-agungkan pasukan kebangsaan itu selain memandang remeh pasukan lawan.

Selain Warga Kota, akhbar-akhbar utama lain turut memberikan liputan meluas terhadap kegagalan pasukan bola sepak Indonesia pada perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF 2010 kepada pasukan Malaysia.



Seperti yang dijangka, isu pancaran laser oleh penonton ke arah pemain bola sepak Indonesia terus diperdebatkan di dada-dada akhbar sebagai menterjemahkan rasa kecewa mereka terhadap kegagalan yang tidak pernah dimimpikan oleh negara itu.

Akhbar Jakarta Globe dalam laporannya berkata, kegagalan Garuda di tangan Harimau Malaya saling tidak ubah seperti sebuah mimpi buruk bagi negara itu.

Kejayaan pasukan Malaysia juga katanya, meninggalkan tekanan yang bukan kecil kepada pasukan di bawah bimbingan Riedl itu.

Apa lagi dengan persoalan apakah final kedua kejohanan itu akan berlangsung di Stadium Bung Karno di sini pada 29 Disember ini yang terus menjadi tanda tanya akibat rusuhan dan kerosakan prasarana stadium itu juga akan memberi kesan lapor akhbar itu lagi.

Bagi akhbar Kompas dalam laporan muka depannya pula, pasukan Indonesia harus belajar untuk memberi persaingan yang lebih sengit kepada pasukan Malaysia pada pertandingan Rabu ini.

"Kegagalan pada peringkat final pertama semalam harus menjadi pengajaran paling berguna buat pasukan itu untuk melakukan langkah yang lebih signifikan," kata akhbar itu lagi.

Pada masa yang sama, akhbar Kompas melaporkan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono menggesa pasukan Garuda serta para penyokong bola sepak agar jangan sama sekali menyalahkan team lawan hanya kerana kegagalan itu.

Susilo kata akhbar itu, meminta rakyat Indonesia tidak berkecil hati dan tetap menyokong pasukan nasional dengan semangat kesukanan yang tinggi.

"Tidak perlu kecil hati, jangan salah-menyalahkan, pastinya timnas (team nasional) kita juga ingin membuat yang terbaik," kata Presiden negara yang dipetik dari akhbar arus perdana itu.

Ahad, 26 Disember 2010

Piala Suzuki AFF: Harimau Malaysia Merobek Burung Garuda Indonesia

Akhirnya skuad Harimau Malaysia berjaya membalas dendam kekalahan mereka kepada skuad Burung Garuda Indonesia.

Harimau Malaysia menang selesa 3 - 0 ke atas Burung Garuda Indonesia pada final pertama Piala Suzuki AFF, di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.



Perlawanan agak seimbang pada separuh masa pertama tetapi beberapa peluang Malaysia untuk mendahului tidak dapat disempurnakan.

Masuk separuh masa kedua, Malaysia menggandakan asakan dan pada minit ke-50 pengadil terpaksa menangguhkan perlawanan hampir 10 minit berikutan tindakan penonton memancarkan cahaya laser ke arah pemain.

Jaringan dua gol oleh Safi Salli pada minit ke-60 dan ke-72, manakala Asaari Shamsuddin menyumbang satu lagi gol telah meranapkan kegagahan Burung Garuda Indonesia.

Skuad Harimau Malaysia akan bertandang ke Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta Rabu ini untuk final kedua. Dengan kelebihan 3 gol, ini memberi peluang besar untuk Skuad Harimau Malaysia merangkul Piala AFF buat pertama kali.

Khamis, 16 Disember 2010

Piala Suzuki AFF: Malaysia Kalahkan Vietnam 2-0

KUALA LUMPUR 15 Dis – Penyerang, Mohd. Safee Mohd. Sali muncul wira selepas menjaringkan kedua-dua gol ketika skuad negara menundukkan Vietnam 2-0 pada perlawanan separuh akhir pusingan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini malam ini.






Gol-gol tersebut dijaringkan pada babak kedua perlawanan, sekali gus mencerahkan peluang anak buah K. Rajagobal untuk melangkah ke peringakt akhir kejohanan tersebut.



Malaysia dan Vietnam akan bertemu lagi pada separuh akhir kedua yang akan dilangsungkan di Hanoi, Sabtu ini. - Utusan