Wellcome To Kg. Paris Kinabatangan Sabah Malaysia. Hope Enjoy Your Stay Here, "Sabah Land Below The Wind"

Sabtu, 18 Disember 2010

Jawatankuasa Fatwa: Tolak Bukan Islam Jadi Peguam Syarie

MELAKA 17 Dis. – Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam hari ini membuat keputusan menolak sebarang pelantikan individu bukan Islam sebagai peguam syarie.

Pengerusinya, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin berkata, keputusan sebulat suara itu diambil dengan mengambil kira beberapa perkara utama yang tidak melayakkan individu bukan Islam untuk menjadi peguam syarie di Mahkamah Syariah.

Menurutnya, dari segi teknikal, jika peguam bukan Islam sewaktu perbicaraan melakukan kesalahan menghina mahkamah, dia tidak boleh diadili dan dibicarakan di Mahkamah Syariah.

‘‘Kita tidak boleh bicara peguam bukan Islam di Mahkamah Syariah kerana mahkamah ini khusus untuk orang Islam,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan muzakarah kali ke-92 itu di sini hari ini.

Majlis bermula Rabu lalu dan berakhir hari ini itu dihadiri kira-kira 22 ahli jawatankuasa fatwa kebangsaan terdiri daripada mufti negeri.

Abdul Shukor berkata, seseorang yang mahu menjadi peguam syarie perlu berkemampuan untuk mengetahui syariat-syariat Islam.

‘‘Lebih penting lagi, ia berkaitan dengan roh keyakinan diri untuk membela orang Islam di Mahkamah Syariah kerana perlu memahami dan menghayati konsep akidah, tauhid dan rukun Islam.

‘‘Seseorang peguam syarie juga perlu mengetahui syariat-syariat Islam kerana perbicaraan melibatkan hujah-hujah syariah dan al-Quran,’’ katanya.

Menurut beliau, jawatankuasa itu berpendapat individu bukan Islam tidak bersedia untuk semua perkara tersebut justeru keputusan untuk menolak sebarang pelantikan mereka sebagai peguam syarie adalah wajar.

Berkenaan suntikan pelalian virus papilloma manusia (HPV) bagi mencegah penularan kanser serviks, Abdul Shukor berkata, jawatankuasa menggalakkan pengambilan pelalian itu kepada golongan wanita Islam terutama bagi kanak-kanak perempuan.

Katanya, keputusan itu diambil setelah mendapat penjelasan daripada Kementerian Kesihatan dari segi kandungan pelalian tersebut yang tidak menimbulkan sebarang masalah atau meragukan.


Sumber Dipetik Dari: pengarang@utusan.com.my

0 comments: