Wellcome To Kg. Paris Kinabatangan Sabah Malaysia. Hope Enjoy Your Stay Here, "Sabah Land Below The Wind"

Selasa, 16 November 2010

7 Tahun Penjara: Kes Bunuh Datuk Sosilawati

BANTING - Dua lelaki dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Datok, atas tuduhan melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.

K. Sarawanan, 19, dan U. Suresh, 26, yang masing-masing menghadapi empat pertuduhan melupuskan bahan bukti, didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan.

Majistret Hurman Hussain, menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap.

Mereka merupakan antara lapan orang yang ditahan di antara 9 dan 12 September lalu, bagi membantu siasatan polis berikutan laporan kehilangan Sosilawati pada 30 Ogos lalu.

Sarawanan dituduh menghilangkan bukti itu dengan membakar mayat Sosilawati, 47, pegawai bank CIMB Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Beliau yang merupakan seorang bekas mekanik didakwa membakar mayat keempat-empat mangsa itu di Lot No 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat Banting pada 30 lalu lepas antara 9.45 malam dan 12.00 tengah malam.

Suresh yang tidak mempunyai pekerjaan tetap pula didakwa menghilangkan bahan bukti itu dengan membuang abu mayat Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin di Sungai Panchau, Jalan Morib Banting pada 31 Ogos lalu antara 8
pagi hingga 10 pagi.

Mereka berdua didakwa melakukan perbuatan itu bagi mengelakkan empat-empat tertuduh di dalam kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain daripada tindakan undang-undang.

0 comments: